Tuesday, July 14, 2009

My Bahasa Melayu...

Baru-baru ini, seorang rakan karib saya menanya saya samada bolehkah saya menulis dalam Bahasa Melayu sebaik saya bertulis dalam Bahasa Inggeris. Soalan sedemikian membuat saya tersungkur sebentar di denak fikiran saya namun saya menjawab dengan yakin, " Ya, Saya boleh! ". Memang betul dan amat tepat sekali bahawa saya lebih yakin menulis rencana maupun nukilan/luahan hati saya dengan menggunakan Bahasa Inggeris daripada Bahasa Melayu tetapi ini tidak menghalang saya daripada mencubanya.
Saya ingin membuktikan bahawa seseorang yang bukannya berbangsa Melayu tetapi rakyat Malaysia sejati sememangnya boleh fasih membaca, menulis dan bertutur dalam Bahasa Melayu dengan baik. Saya juga ingin mengesahkan bahawa saya yakin saya fasih berbahasa Melayu. Saya yakin dan pasti juga bahawa kemajuan saya dalam menguasai Bahasa Melayu adalah kerana didikan awal yang baik, pergaulan baik dengan kawan-kawan berbangsa Melayu, Cina, Indian, Sikh dan lain-lain serta inisiatif sendiri untuk mendalami bahasa ini. Saya masih ingat semasa di bangku sekolah lagi, tidak timbul masalah "perkauman" malah rakan-rakan saya di sekolah amat mesra dan mempunyai perasaan hormat-menghormati. Sehingga kehari ini, berpuluh tahun selepas melangkah keluar dari pintu sekolah, kami masih mempunyai hubungan erat, membuat perjumpaan spontan dan saling hormat-menghormati. Walaupun saiz badan berbeza malah rambut dikepala mula gugur dan berputik putih tetapi hubungan baik dan erat dapat dirasai. Kemana perginya kesemuanya ini? Kemana perginya kemesraan bergaul dengan baik diantara satu sama lain? Ini adalah laungan serta keluhan hati kecil ini.
Seingat saya, walaupun bahasa pengantaran di negara ini adalah Bahasa Melayu tetapi ramai di antara kita masih berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris serta menggunakan bahasa ibunda kita setiap hari. Oleh itu, sekiranya saya, seorang warganegara Malaysia yang berbangsa Cina boleh menguasai Bahasa Melayu , mengapa pulak bangsa-bangsa yang lain enggan atau ingkar mempelajari bahasa lain? Kita hantar perpuluh ribu pelajar kita, para cerdik-pandai serta para cendiakawan ke luar negara untuk belajar serta menghalusi Bahasa Inggeris, Bahasa Peranchis, Bahasa German, Bahasa Arab dan lain-lain tetapi kita bersuara lantang dan kuat apabila Bahasa Inggeris digunakan keatas mata pelajaran Matematik dan Sains. Ini amat mengecewakan. Saya percaya bahawa memperolehi ilmu pengetahuan merupakan khazanah diri yang amat penting. Kita akur bahawa kebanyakan khazanah pengetahuan, kertas penyelidikan serta buku rujukan ilmiah ditulis dalam Bahasa Inggeris. Tidakkah kita sebagai bangsa Malaysia akan ketinggalan sekiranya generasi kita yang akan datang tidak pandai ataupun tidak fasih dalam Bahasa Inggeris. Biarpun apa saja, janganlah kita abaikan Bahasa Inggeris yang merupakan alat komunikasi serta penjana kepada evolusi pengetahuan dan saluran pembangunan insan. Kita perlu berfikiran terbuka, waras dan akur bahawa dunia teknologi maklumat sentiasa berkembang pesat dan kita perlu memahami keperluan hakikat dunia pada masa kini. Sekiranya kita berfikiran sempit dan cuba hanya memperjuangkan bahasa kita sendiri sahaja, kita akan tersungkur di masa hadapan kerana hakikatnya, anak-anak kita akan ketinggalan jauh di belakang apabila mereka mencuba nasib diseberang dunia atau di rantau lain kelak.
Saya tidak mempertikaikan kepentingan serta kedudukan Bahasa Melayu tetapi cuma ingin memberi inspirasi serta dorongan agar generasi muda kita akan lebih berjaya dengan penguasaan kedua-dua bahasa. Saya juga berpendirian bahawa mana-mana lapisan masyarakat maupun kononnya pejuang bahasa yang hanya mementingkan bahasa ibunda sendiri sememangnya golongan berfikiran sempit , takut kepada perubahan dan berbau politik perkauman. Saya berani menulis ini kerana saya percaya sipejuang-pejuang bahasa semacam ini merupakan pejuang prejudis yang tidak mementingkan kehormatan serta keamanan yang dikecapi . Mereka ini akan meniup dan membara sentiment yang tidak sihat dan apabila mereka tidak dapat mengawal lagi "kerosakan" yang mereka bawa atau perjuangkan, mereka akan angkat kaki dan lari dari negara ini serta hidup mewah dinegara lain. Ini adalah hakikat. Terdapat terlalu banyak contoh kepada perjuangan seperti ini diserata dunia. Tepuklah dada dan tanya selera-lah! Kata orang tua-tua , ini bagaikan bak pepatah " Baling batu, sembunyikan tangan." Yang menyedihkan ialah kita ini, insan bertulang empat kerat yang bertungkus-lumus setiap hari untuk mencari sesuap nasi untuk keluarga kita ketinggalan menghadapi bencana serta ancaman kebencian yang meluap yang akhirnya membinasakan generasi kita hari ini. Janganlah kita ini diperalatkan serta diperbodohkan oleh orang-orang sedemikian.
Saya percaya bahasa ibunda setiap bangsa amat penting dikekalkan untuk generasi yang akan datang. Kita tetap Melayu, Cina, India, Sikh, Kadazan, Portugis dan lain-lain. Kita tidak boleh tukar bangsa kita sesuka hati ataupun bahasa kita. Bahasa itu bangsa kita - saya pernah diberitahu sedemikian. Yang pentingnya ialah bahasa merupakan jalinan hidup diantara semua kaum di negara ini. Janganlah kita perjudikan masa depan kita serta berbalah berterusan mengenai benda-benda yang tidak mendatangkan faedah kepada generasi kita ataupun siapa lebih penting! Lebih baik kita berjuang membenteras masalah rasuah yang semakin berleluasa, tamak kuasa, ketidakseimbangan dalam masyarakat kita hari ini serta ahli-ahli politik yang talam dua muka serta jahil dalam intipati erti keharmonian.
Ya, saya amat bosan terhadap ketidakseimbangan hidup dan sikap lantang prejudis terhadap semua kaum di negara ini. Kepada golongan majoriti yang senyap tetapi berisi, bangunlah dan sedari bahawa kita boleh merubah corak hidup seharian kita dengan perubahan yang dibawa dalam diri kita. Titik perubahan bermula dari kita. Perjuangan bahasa ini hanyalah merupakan isu kecil dalam kehidupan seharian kita. Usahlah ianya dijadikan isu utama perjuangan ini dan itu kerana pada pandangan saya, isu ini hanyalah merupakan alasan untuk kepentingan sendiri. Bahasa Inggeris tetap merupakan bahasa yang paling kerap digunakan diserata dunia selain daripada Bahasa Peranchis. Ini adalah hakikatnya. Harungilah hakikat ini dengan hati terbuka!~
Nota tambahan : Saya juga sokong kempen " Saya Anak Bangsa Malaysia! "

3 comments:

Unknown said...

fulamak bagus jugak bahasa melayu hang ;)
Betul betul, kita rakyat malaysia harus bisa bertutur dalam bahasa melayu. Inilah dikatakan muhibah ;)

A Pinch Of Salt said...

YiVon:
Terima kasih atas komentar anda. Yah! Malaysia Boleh-mah!

ViveAlive said...

Canggihlah. Penguasan Bahasa Melayu anda sungguh baik. Kamulah Anak Bangsa Malaysia sejati.